Betul ke ramai orang cina masuk islam di malaysia kerana kos pengebumian lebih murah?

Perkongsian mengenai faktor orang Cina memeluk Islam mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila seorang mualaf, Adam Kelvin, menjelaskan pengalaman dan pemerhatiannya terhadap perkara tersebut.

 

Menurut beliau, tanggapan bahawa ramai orang Cina memeluk Islam semata-mata kerana mahu menikmati kos urusan kematian yang lebih murah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan realiti sebenar.

 

Katanya, sebab paling lazim seseorang Cina memeluk Islam di Malaysia adalah kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Peraturan sedia ada menetapkan bahawa pasangan bukan Islam perlu memeluk Islam sebelum perkahwinan dapat dilangsungkan.

 

Beliau menjelaskan keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana ramai mualaf terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk tentangan daripada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

 

Adam turut mendakwa terdapat kes di mana individu yang ingin memeluk Islam menerima tekanan kuat daripada keluarga sehingga ada yang dihantar ke luar negara bagi menghalang mereka daripada meneruskan hasrat tersebut.

 

Selain faktor perkahwinan, beliau berkata terdapat juga individu Cina yang memeluk Islam hasil pencarian dan kajian mereka sendiri terhadap agama serta persoalan kehidupan. Golongan ini membuat keputusan selepas meneliti ajaran Islam dan yakin dengan pegangan tersebut.

 

Menurutnya, kelompok yang memeluk Islam kerana mendapat hidayah sememangnya wujud walaupun jumlahnya tidak seramai mereka yang memeluk Islam atas faktor perkahwinan.

 

Menyentuh dakwaan mengenai kos kematian, Adam mengakui terdapat kes terpencil melibatkan warga emas yang memeluk Islam pada penghujung usia kerana melihat urusan pengebumian Islam lebih ringkas dan murah. Namun beliau menegaskan situasi seperti itu sangat jarang berlaku.

 

Katanya, kebanyakan masyarakat Cina telah membuat persediaan awal berkaitan urusan kematian termasuk pembelian atau tempahan tapak perkuburan. Oleh itu, faktor kos pengebumian bukanlah pendorong utama untuk seseorang menukar agama.

 

Beliau turut berkongsi bahawa beliau sendiri terkejut apabila mengetahui urusan pengebumian Islam dapat diselesaikan dengan cepat. Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa banyak tanah perkuburan Islam sebenarnya berasal daripada sumbangan dan wakaf orang ramai, sekali gus menjadi amalan kebajikan yang berterusan untuk penyumbangnya.

 

Sumber: Perkongsian Adam Kelvin di Facebook.